KUCHING: Dengan lebih banyak aplikasi dan laman web yang ada untuk cari destinasi percutian ataupun tempat pelancongan yang berpatutan, vendor, pemborong dan peniaga tempatan harus mengambil peluang menggunakan aplikasi digital dan laman web sedia ada untuk mempromosikan produk pelancongan mereka ke pasaran global.

Justeru itu, program radio “Randau Digital Sarawak” yang dianjurkan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak kembali lagi bulan ini dengan topik “Memperkasakan e-pelancongan di Sarawak” memberikan para pendengar di seluruh Sarawak khususnya yang terlibat dalam industri pelancongan ini idea dan pengetahuan baharu mengenai status e-pelancongan di negeri ini.

“Penggunaan teknologi digital memudahkan pelancong dari dalam dan luar negara untuk menyenangkan perancangan percutian, selain memudahkan pencarian maklumat dalam jurang internet, seperti e-dagang bagi pembelian tiket kapal terbang, penginapan dan pakej pelancongan,” kata Nurhadiatul Sukinah Jamali, Pembantu Pengurus Komunikasi Sarawak Tourism Board (STB) dalam temubual Randau Digital Sarawak yang disiarkan 17 Julai 2019.

Nurhadiatul Sukinah Jamali sedang ditemu ramah dalam Randau Digital Sarawak menerusi rancangan Bahasa Melayu.
Nurhadiatul Sukinah Jamali sedang ditemu ramah dalam Randau Digital Sarawak menerusi rancangan Bahasa Melayu.

STB turut mensasarkan sebanyak 5 juta orang pelancong pada tahun ini berbanding 4.3 juta pada tahun 2018.

“Peratusan kenaikan pelancong pada Jan – April 2019 adalah 4.67 peratus dengan jumlah kehadiran pelancong sebanyak 1,472,221 berbanding 65,656 pelancong pada 2018. Jumlah Jan-April adalah 1,406,565 kehadiran pelancong. Untuk mensasarkan target 5 juta pelancong dari 4.4 juta (2018), kita memerlukan 570,000 pelancong ke Sarawak,” kata Anderson Harry William Omar, Penolong Pengurus Acara dalam temubual menerusi rancangan Iban pada 16 Julai 2019.

Tahun Melawat Sarawak atau “Kempen Melawat Sarawak” (VSC) memfokuskan kepada lima tema iaitu kebudayaan, pengembaraan lasak, alam semulajadi, makanan dan perayaan (CANFF). Kelima-lima tema ini memainkan peranan penting dalam industri pelancongan, memandangkan Sarawak mempunyai lebih daripada 27 etnik bangsa yang kaya dengan makanan unik, berbagai perayaan yang kita sambut sepanjang tahun.

Tambahan pula, e-pelancongan menjadi pasaran yang luas di abad kini. Pengusaha-pengusaha pelancongan terutamanya di luar bandar tidak dapat mengaseskan ke pasaran dunia dan e-pelancongan menjadi kekangan mereka untuk mempromosikan perniagaan produk-produk pelancongan mereka seperti inap desa, pemakanan dan aktiviti pelancongan mereka.

Sebagai contoh, pemaju pelancongan di Bario menggunakan platform e-dagang untuk memasarkan produk mereka.
Anderson menyatakan terdapat beberapa pengusaha pelancongan di Sarawak yang giat memperkenalkan e-pelancongan sebagai bahan promosi pakej dan produk pelancongan, selain itu, turut memainkan peranan adalah agensi yang memasarkan produk pelancongan dan pakej Sarawak ke luar negara seperti Eropah.

“STB dalam hal ini ada dua perkara; pertama, membantu mereka dari segi memberi sokongan pemasaran dan kedua, nasihat untuk membantu mereka memasarkan ke luar seperti membawa produk mereka ke mana-mana expo di serata dunia,” tambah Anderson dalam program radio Randau Digital Sarawak tersebut.

Kedua-dua tetamu dari STB yang telah ditemubual menerusi program radio “Randau Digital Sarawak” merupakan episod keempat dalam musim kedua yang disiarkan dalam bahasa Iban dan Melayu menerusi bahasa Iban saluran Rentak Ruai dari jam 3 hingga 4 petang dan CATS Drivetime jam 5 hingga 6 petang masing-masing.

Randau Digital Sarawak ini akan menemui pendengar CATS FM bermula bulan April sehingga September 2019 dan ke udara satu bulan sekali manakala Infokapsul anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang
(AZAM) Sarawak boleh didengarkan setiap hari di CATS FM. Kepada semua pendengar jangan lupa, juh digitalkan dunia kita.