photo_2020-09-11_16-11-28

SARAWAK SELANGKAH KE ARAH NEGERI DIGITAL

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini giat menghasilkan produk dan teknologi baru seperti ‘open data’ untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Pegawai Tadbir SMA Faizal Ibrahim berkata, penggunaan teknologi ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dan memberi manfaat kepada rakyat seperti statistik mengenai penyebaran wabak Covid-19, data mengenai cara-cara pencegahan dan maklumat peringatan mesra kepada orang awam.

“Hubungan teknologi ‘open data’ dengan lima prinsip kerajaan digital amatlah berkait rapat dan saling melengkapi antara data, kerajaan dan orang awam,” katanya.

Faizal berkata, ‘open data’ ini turut dapat membantu pihak kerajaan dalam mengurus selia dan menghubungi orang awam sekiranya ada keperluan daripada pihak Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan. 

“Melalui kemudahan seperti ini, maka pembangunan sistem kawalan pergerakan seperti Qmunity dan Covid trace telah dibangun untuk kemudahan orang awam disamping mewujudkn Tadbir Urus Digital Cemerlang kepada masyarakat Sarawak,” ujarnya lagi. 

Di samping itu, Faizal turut berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi oleh pihaknya dalam mewujudkan kerajaan digital yang terbuka dan lancar seperti liputan capaian internet di kawasan luar bandar masih berada di tahap yang kurang memuaskan, kesediaan komuniti dalam menggunakan medium digital dan ketidakmahiran rakyat menggunakan peralatan ICT. 

Sementara itu, Faizal menyeru agar rakyat Sarawak untuk peka dengan pembangunan semasa ini kerana Sarawak merupakan negeri pertama yang akan mengaplikasikan teknologi 5G apabila teknologi mudah alih ini sudah sedia untuk digunakan kelak.

Menurutnya lagi, inisiatif ini sedang dirancang secara berperingkat dan akan disediakan kepada seluruh rakyat tanpa ada yang tertinggal.

Beliau menambah bahawa, SMA juga akan memberi jaminan data dan maklumat peribadi pengguna seperti Sarawak ID dan Sarawak Pay adalah selamat dan tidak akan dikongsi sewenang-wenangnya tanpa kebenaran sesuai dengan apa yang termaktub didalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Beliau berkata keika sesi ditemubual bersama Sarawak FM, yang turut ditemani Penolong Pegawai SMA Hafeez Rosland dan Pegawai Komunikasi AZAM Sarawak Hassnal Hakim Junaidi, semalam.