photo_2020-09-28_10-20-59

Sembang ‘Usahawan Digital’ kupas prospek kerjaya dalam era digital

KUCHING: Sembang ‘Transformasi dalam Dunia E-Dagang’ dengan topik ‘Usahawan Digital’ diadakan baru-baru ini untuk mengembangkan medium perniagaan digital.

Program yang mengetengahkan prospek dan peluang kerjaya anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) itu menyasarkan golongan belia dan usahawan di negeri ini.

Usahawan sayur-sayuran dalam talian, Heineken Laluan turut berkongsi aplikasi dalam talian yang dibangunkannya, Timogah.

Aplikasi itu memberi platform kepada para petani tradisional dan moden, peniaga serta pengusaha produk tempatan memasarkan produk secara digital tanpa menggunakan perkhidmatan gerai ataupun pasar raya. 

Heineken berkata, idea mewujudkan aplikasi itu tercetus apabila permintaan pengguna terhadap khidmat penghantaran makanan semakin meningkat.

MANFAAT DIGITAL: (Dari kiri) Heineken, Hassnal Hakim Junaidi dan Juruhebah Sarawak FM Azman Johari di konti Sarawak FM.
MANFAAT DIGITAL: (Dari kiri) Heineken, Hassnal Hakim Junaidi dan Juruhebah Sarawak FM Azman Johari di konti Sarawak FM.

“Justeru, pada peringkat ini usaha berterusan perlu dilakukan untuk mendidik golongan sasar iaitu komuniti petani kecil luar bandar, peniaga kecil dan pengusaha produk tempatan untuk menyesuaikan diri dengan normal baru. 

“Iaitu gaya hidup digital yang tidak menggunakan apa-apa kaedah tradisional dan cara ini terbukti memudahkan kehidupan kita terutama pada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” katanya.

Beliau yang juga antara calon akhir Shell LiveWIRE Global Top Ten Innovators Award 2020 turut menyatakan misinya untuk mendidik masyarakat khususnya komuniti petani kecil luar bandar, peniaga kecil dan pengusaha produk tempatan agar menggunakan platform digital termasuk Timogah.

Temu bual tersebut akan bersambung pada minggu hadapan iaitu hari Jumaat bersiaran jam 9.30 pagi dalam Program Sembang Digital Normal Baru menerusi Sarawak FM anjuran SMA dengan kerjasama AZAM Sarawak.

Untuk keterangan lanjut, layari www.sma.gov.my atau AZAM Sarawak www.azam.org.my.