Faktor - faktor kekangan masa dan kerja sering dijadikan alasan yang membataskan pergaulan kita dengan jiran-jiran dan mengambil mudah akan kewujudan jiran tetangga. Jiran merupakan orang yang paling dekat dengan kita ketika kita bergembira atau berada dalam kesukaran.
Kawasan Perumahan Setempat : Cabaran dan Saranan
Perkembangan ekonomi yang memberansangkan menyebabkan proses urbanisasi di Sarawak berlaku dengan pesat. Salah satu fenomena yang terhasil daripada proses tersebut adalah pertambahan jumlah penduduk yang bermigrasi ke bandar. Fenomena ini secara tidak langsung menyebabkan peningkatan dari segi permintaan terhadap rumah terutamanya rumah kos rendah atau rumah mampu milik.
Pelbagai cabaran sosial yang dihadapi oleh masyarakat perumahan seperti masalah jenayah (pecah rumah, vandalisma, kecurian), masalah sosial (pengambilan alkohol secara berlebihan, remaja berpeleseran), masalah kependudukan (rumah setinggan) dan sebagainya yang boleh mempengaruhi kualiti hidup termasuklah keselamatan, pencemaran alam sekitar dan juga penyediaan kemudahan infrastruktur yang mencukupi. Cabaran sosial ini sememangnya tidak dapat dielakkan, maka dengan itu usaha-usaha dari pelbagai agensi yang relevan telah dijalankan untuk membendung masalah – masalah tersebut.
Menyedari hakikat ini, pihak AZAM Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi di Sarawak telah mengadakan program Randau Jiran di Kuching pada 23 Julai lepas. Melalui sesi Randau tersebut, agensi-agensi dan wakil-wakil penduduk kawasan perumahan rumah pangsa dari kawasan Matang, Kuching telah berbincang mengenai cabaran dan isu yang dihadapi dalam usaha untuk mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan komuniti di peringkat perumahan.
Bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), misalnya pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Encik Abdul Razak, Pegawai Perhubungan Awam menerangkan pihak mereka menyediakan perkhidmatan perbandaran contohnya pungutan sampah 2 kali seminggu, penyelenggaraan jalanraya dan lampu jalan. Bagi perkhidmatan tersebut pihak MPP mengenakan bayaran Cukai Pintu kepada pemilik premis 2 kali setahun.
Bagi pihak MPP, cabaran mereka adalah untuk memastikan program kemakmuran dan kesejahteraan komuniti yang mereka jalankan bagi keharmonian komuniti berjaya mencapai matlamatnya. Terdapat 5 faktor utama yang mereka titikberatkan iaitu kerjasama dan perkongsian pintar antara agensi kerajaan dan swasta, reka bentuk dan pengurusan projek, komitmen kepimpinan, penglibatan komuniti setempat dan pelan tindakan yang komprehensif. Beliau turut menyatakan bahawa faedah yang bakal dinikmati oleh pemilik rumah pangsa atau flat melalui program ini ialah dari segi keselesaan dan keharmonian hidup serta pulangan dari pertambahan nilai rumah pangsa tersebut pada masa akan datang.
Bagi pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan atau Housing Development Corporation (HDC), antara cabaran yang dihadapi adalah untuk memastikan penduduk membayar yuran penyelenggaraan bagi membiayai caj penyelenggaraan seperti kos menjaga kebersihan, memotong rumput, utiliti seperti lampu jalan dan mengecat luar bangunan. Pihak HDC setakat ini masih mengalami kesukaran mengutip yuran yang cukup untuk membiayai kos-kos berkenaan. Cabaran lain termasuk vandalisma yang memaksa HDC menanggung kos penggantian peralatan yang tinggi seperti pili bomba dan peti surat di rumah pangsa. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa penjagaan rumah dengan sebaik mungkin akan meningkatkan nilai harga jualannya pada masa akan datang dan perkara ini juga turut ditekankan oleh pihak MPP. Kerjasama penduduk dalam memelihara kemudahan yang telah disediakan oleh pihak HDC adalah tanggungjawab bersama bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk demi kesejahteraan dan keharmonian.
Selain itu, pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak memaklumkan masih banyak kawasan perumahan yang belum menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Objektif Rukun Tetangga adalah untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Tanggungjawab KRT meliputi aspek kejiranan, muhibah, kerjasama, keharmonian, kesentosaan, kesihatan, keselamatan dan aktiviti lain sebagaimana yang diarahkan oleh Pengarah JPNIN dari semasa ke semasa.
Kurangnya pengetahuan mengenai cara penubuhan, kepentingan dan kelebihan KRT ini mungkin antara penyebab kurangnya penubuhan KRT di kawasan perumahan. Antara kelebihan penubuhan KRT adalah seperti kemudahan prasarana seperti pusat Rukun Tetangga dan Kabin Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk mengelakkan masalah jenayah, kemudahan insurans perlindungan 24 jam untuk Ahli Jawatan Kuasa (AJK), Rukun Tetangga (RT) dan AJK SRS serta kemudahan pendidikan seperti kelayakan untuk pembukaan Kelas Tabika Perpaduan.
Semasa sesi Randau Jiran tersebut pihak komuniti setempat turut berkongsi cabaran yang mereka hadapi iaitu kurangnya maklumat atau tidak mengetahui saluran yang betul untuk mengadu mengenai masalah perumahan mereka. Pertindihan peranan jawatankuasa ini berpunca daripada kefahaman penduduk mengenai peranan dan tugas Jawatankuasa Keselamatan (JKK), KRT dan RT. Di sini, agensi-agensi yang sah dalam mengendalikan pertubuhan-pertubuhan dalam kawasan kejiranan mungkin boleh memantau dan memberi garis panduan mengenai had bidang kuasa tersebut agar komuniti lebih jelas terhadap perkara ini.
Bagi wakil-wakil penduduk semasa sesi tersebut, mereka telah memberi saranan supaya pihak agensi berkenaan mengadakan aktiviti yang boleh menyumbang kepada pembentukan masyarakat harmoni. Antara cadangan adalah mengadakan aktiviti rumah terbuka untuk semua jenis perayaan dan lebih banyak program seperti bengkel ICT dan program motivasi dijalankan bagi meningkatkan lagi kualiti hidup komuniti. Kerjasama ini akan memupuk perpaduan di kalangan penghuni rumah pangsa yang berbeza latar belakang, kaum, agama dan budaya yang menyumbang kepada keharmonian masyarakat perumahan.
Menurut salah seorang peserta program Randau Jiran AZAM iaitu Encik Kamri Bin Monir, Pengerusi KRT dari Taman Dahlia, Matang, program ini memberi banyak manfaat kepada penduduk dan menjadi landasan untuk menyampaikan isu yang dihadapi di kawasan kediaman. Beliau berharap program sebegini akan lebih kerap diadakan bagi merapatkan lagi interaksi penduduk dengan agensi-agensi yang terlibat demi kesejahteraan dan kemakmuran kawasan kediaman rumah pangsa.
Perumahan sejahtera, komuniti harmoni
Menurut Puan Delin Liet, Timbalan Pengarah JPNIN dalam temubual rancangan radio AZAM bersama RTM, Kuching iaitu “Randau Pemansang Menua” setakat ini hanya 416 KRT telah ditubuhkan di seluruh Sarawak. Perkara ini menunjukkan kesedaran penubuhan skim KRT perlu dipertingkatkan. Beliau menyarankan agar lebih banyak kawasan perumahan menubuhkan KRT.
Selain itu, PBT seperti MPP dan HDC turut berperanan penting dalam memastikan perlaksanaan setiap program berjalan lancar. Usaha-usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, komitmen kepimpinan di peringkat AJK, penglibatan komuniti dan pelan tindakan yang komprehensif yang perlu dijalankan bersama bagi memupuk slogan “Ke arah Perbandaran Padawan Yang Cekap, Bersih, Selamat dan Makmur” yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat di Bandaraya Kuching.
Salah satu contoh KRT yang telah berjaya kini adalah di perumahan Taman Allamanda Indah yang dipengerusikan oleh Encik Ahmad Haji Nahap. Beliau yakin bahawa KRT ini dapat mengeratkan perhubungan dan saling menghormati antara jiran tanpa mengira bangsa. Semangat bantu-membantu dapat dipupuk melalui KRT dan hal ini berkait rapat dengan komitmen setiap warga taman yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat di peringkat bandar.
KRT sebagai pemangkin Bandaraya berjiwa
Pucuk kepimpinan negeri, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dalam ucapan beliau semasa majlis sambutan ulangtahun bandaraya Kuching ke-23 menekankan RJT / RT atau pergerakan kejiranan mesra sebagai pergerakan yang harus dilaksanakan dengan penuh dedikasi “Rukun Jiran Tetangga or the harmonious neighbourhood movement is a movement that must be implemented and carried out with full dedication” (The New Sarawak Tribune: August 2, 2011 ).
Daripada kesinambungan konteks kejiranan mesra yang dinyatakan tersebut, Ketua Menteri turut menyatakan impian beliau untuk melihat bandaraya Kuching menjadi sebuah bandaraya yang berjiwa (City with a Soul), (The New Sarawak Tribune: August 2, 2011) di mana penduduknya begitu mesra antara satu sama lain seiring dengan perkembangan ekonomi bandaraya yang semakin memberansangkan.
Dari sini kita dapat lihat kepentingan KRT dalam mewujudkan sebuah bandaraya yang “berjiwa”. Di peringkat KRT, kerjasama antara masyarakat berbilang kaum di kawasan perumahan mampu melahirkan suasana yang kondusif untuk didiami dan seterusnya perumahan–perumahan ini dapat membentuk satu bandaraya yang menarik dan mesra penduduk. Kemesraan antara penduduk akan memberikan imej yang baik kepada pengunjung yang melawat ke Bandaraya Kuching dan hal ini secara tidak langsung mampu menyumbang ke arah pembangunan sektor perlancongan negeri kita.
Penutup
Senyuman dan teguran mesra seperti “Hello Jiran” merupakan asas permulaan kepada persahabatan antara penduduk. Jika merujuk kepada asas pergaulan, masyarakat yang harmoni bermula dari kumpulan kecil seperti keluarga dan jiran tetangga, seterusnya komuniti di kawasan perumahan yang secara tidak langsung mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat di peringkat bandaraya.
Peranan kita sebagai individu yang peka terhadap persekitaran kediaman secara tidak langsung juga mampu menyumbang dalam memupuk keharmonian dan kesejahteraan bandaraya kita secara amnya.
Belinda Wilson merupakan Pegawai Pembangunan dan Cecilia Jeffery Tok adalah Pegawai Komunikasi di Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak). Nota Pemansang merupakan rencana terbitan AZAM Sarawak dengan kerjasama Utusan Sarawak yang mengetengahkan isu-isu pembangunan semasa. Rencana ini akan diterbitkan dua minggu sekali pada setiap hari Selasa dalam ruangan Stail Pembangunan.