Vanida Imran yang juga sangat mudah didekati memberikan respon yang positif kepada AZAM Sarawak.

AIFFA 2017 kembali menghangatkan bandaraya perpaduan

Oleh: Mohd. Hassnal Hakim Junaidi

AIFFA 2017 p1
ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) kembali lagi. Pastinya suasana yang mengujakan lagi meriah dengan kehadiran penggiat filem dari serata Asean yang akan berkampung di Sarawak selama tiga hari bermula 4 sehingga 6 Mei 2017 nanti untuk bersama-sama meraikan Festival AIFFA disamping merancakkan lagi sambutan festival filem yang dianjurkan dua tahun sekali ini..

“AIFFA adalah seperti perhimpunan bagi pembuat filem dan semua artis yang menggunakan bahasa filem berkumpul dan bersama-sama mengekspresikan cerita untuk dikongsikan kepada masyarakat,” kata Datin Paduka Shuhaimi Baba ketika ditemubual.

Selain itu, AIFFA juga merupakan platform bagi mempromosikan filem ASEAN ke pasaran antarabangsa disamping memudahkan kerjasama dan rangkaian dalam industri filem ASEAN serta menyediakan peluang perniagaan bagi tujuan merancang, membantu, mendidik serta mempromosikan melalui “Showcase” filem menerusi mesyuarat, insentif, persidangan dan juga pameran (MICE).

AIFFA turut membantu dalam pembangunan pelancongan negeri Sarawak tidak kira dalam mahupun luar negara termasuklah Kuching (tuan rumah), Kota Kinabalu, Manila, Bangkok, Jakarta dan Singapura yang pastinya membantu mempromosikan budaya, tradisi dan warisan kita ke arah bersatu ASEAN.

ASEAN International Film Festival and Awards (AIFFA)

AIFFA 2017 p2

AIFFA tahun ini melibatkan lebih daripada 100 filem ASEAN bersaing bagi merebut trofi kemenangan dalam anugerah berprestij ini.

“Filem-filem ini akan dinilai oleh barisan juri yang hebat dan berpengalaman dari peringkat antarabangsa dan juga ASEAN,” ujar Livan Tajang selaku Ketua Program AIFFA 2017.

Seperti tahun 2013 dan 2015 yang menyaksikan Tan Sri Dato’ Seri Michelle Yeoh sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat merangkap Pemenang AIFFA 2013 manakala Datuk Jackie Chan pula merupakan penerima Anugerah Inspirasi ASEAN sekaligus menjadikan beliau sebagai pemenang AIFFA 2015.

Datuk Jackie Chan Sempat berswafoto bersama peminat di Kuching yang telah dimuatnaik ke dalam Laman Instagram Peribadinya pada tahun lepas.
Datuk Jackie Chan Sempat berswafoto bersama peminat di Kuching yang telah dimuatnaik ke dalam Laman Instagram Peribadinya pada tahun lepas.

Siapakah bintang lagenda manakah yang bakal menerima anugerah khas AIFFA bagi tahun ini? Ada yang menjangkakan James Wan dan beberapa nama besar dalam bidang ini. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan kehadiran Lagenda Filem ASEAN itu nanti.

Selain itu, AIFFA tahun ini juga akan menerima kunjungan bintang filem seperti Nora Aunor, Ekta Kapoor, Gary Levinson dan lain-lain.

Imbas kembali, AIFFA 2013 telah menyaksikan lebih daripada 200 orang tokoh perfileman Antarabangsa datang ke Kuching untuk menghangatkan lagi suasana sambutan fiesta filem ASEAN Sarawak itu, manakala seramai 287 orang selebriti filem dari 10 negara Asean termasuklah Korea dan China pada tahun 2015.

Kehadiran pelakon dan pengarah dari Hollywood dan Bollywood, bintang filem dari rantau Asia dan mereka yang terlibat dalam industri kreatif dilihat dapat membakar semangat anak-anak muda tempatan untuk berkarya.

Tahun ini, AIFFA tampak lebih bersedia dan mempunyai semangat baru dalam menarik minta rakyat Sarawak khususnya golongan belia untuk berkecimpung dalam dunia perfileman.

Selari dengan gelombang itu, sebuah bengkel perkongsian ilmu yang telah dikendalikan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba turut diadakan pada 16 Februari 2017 menyaksikan lebih daripada 50 orang belia mengambil bahagian.

Bengkel yang melibatkan perkongsian ilmu ini mendedahkan kepada golongan amatur dalam pembikinan filem ini tentang tatacara menghasilkan video/filem pendek. Selain itu juga, beliau turut memberi tunjuk ajar berkenaan dengan penampilan mereka bila berhadapan dengan kamera.

Beliau yang juga merupakan pengarah filem “Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2” juga tidak lokek untuk berkongsi tips merangka plot penceritaan, penulisan skrip yang hebat, serta pemilihan watak yang pelbagai.

“Filem tidak dapat dihasilkan secara solo, ‘teamwork’ itu penting,” tambah beliau semasa bengkel perkongsian tersebut.

Shuhaimi juga menggalakkan anak muda agar bijak memvariasikan plot permulaan, penceritaan dan penutup mengikut kesesuaian trend masa kini. Hal ini dapat mengelakkan produk keluaran negara tidak terus dilabel sebagai produk yang tidak berkualiti dan berada ditangkuk yang lama.

Dalam majlis yang sama, sebuah pertandingan yang melibatkan belia – ‘Youth Short Film Competition 2017’ – telah diperkenalkan.

Menurut Livan Tajang, pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat anak muda tertuamanya di Sarawak untuk bergiat aktif dalam bidang ini disamping menjadikan Kuching sebagai destinasi penggambaran filem.

Beliau yang hadir semasa majlis pelancaran AIFFA 2017 di Kuching meminta agar seluruh warga Sarawak membantu dalam usaha membangunkan ekopelancongan Sarawak melalui aktiviti yang dijalankan sepanjang penganjuran festival ini.

Keunikan semulajadi Sarawak jadi tumpuan

Sharifah Amani ketika ditemubual oleh krew AZAM Sarawak.
Sharifah Amani ketika ditemubual oleh krew AZAM Sarawak.

“Sarawak mempunyai bentuk muka bumi yang cantik dan orangnya yang baik-baik dan peramah,” kata Sharifah Amani yang merupakan salah seorang pelakon wanita Malaysia yang hadir ke majlis pelancaran AIFFA 2017.

Beliau yang juga merupakan artis yang berbakat besar menginginkan kerjasama dari semua pihak agar bidang lakonan ini tidak dipandang remeh oleh individu yang hanya mengejar dunia glamor semata-mata.

Selain itu juga, keadaan ini membuktikan kenyataan lagenda Datuk Jackie Chan pada penganjuran AIFFA 2015 yang pernah menyatakan: “Sarawak is very beautiful. The river (Sarawak River) is also very beautiful. I would love to do a love story in Sarawak.”

Seterusnya, Vanida Imran yang turut dikenali sebagai Vee menyuarakan pendapatnya yang sama: “Sarawak cantik dijadikan latar belakang filem kerana terdapat kisahnya yang sendiri dan tidak diketahui oleh kami yang berada di Semenanjung.”

Tambah beliau lagi, kepelbagaian etnik dan adat yang dimiliki oleh Sarawak sememangnya mempunyai isi penceritaan yang menarik dan sering dilupa oleh penggiat drama dan filem pada masa kini.

Oleh yang demikian, beliau menyeru penggemar filem di Sarawak terutamanya golongan muda dapat menyahut cabaran agar keunikkan yang terdapat di Sarawak tidak lapuk dek masa dan hilang begitu sahaja.

Tambahan pula, beliau berpendapat bahawa belia tempatan berkeupayaan untuk menulis kisah tersebut dan dipertontonkan pada khalayak menggunakan kaedah visual. Selain itu, beliau turut menyeru agar belia kita tidak begitu taksub mengikut Hollywood yang sememangnya mempunyai kaedah teknologi yang canggih jauh kedepan dari kita.

Kehadiran AIFFA yang dirindui oleh penduduk Sarawak

Vanida Imran yang juga sangat mudah didekati memberikan respon yang positif kepada AZAM Sarawak.
Vanida Imran yang juga sangat mudah didekati memberikan respon yang positif kepada AZAM Sarawak.

Seperti yang kita sedia maklum, penganjuran AIFFA dijalankan pada setiap dua tahun sekali dan penampilannya yang mempunyai pelbagai kejutan yang sering dinantikan oleh bukan sahaja artis-artis yang terlibat malah warga Kuching juga.

Sungguhpun begitu, adakah wajar AIFFA dilakukan pada masa berkenaan atau lebih signifikan jika diadakan pada setiap tahun?

“Penganjuran dua tahun sekali ini sememangnya tidak ada masalah, malah ianya membuka ruang kepada penggiat filem untuk mengumpul filem mereka dan dipertandingkan dalam Festival AIFFA pada tahun yang berikutnya,” jelas Vanida.

Tambahan pula, keadaan ini memberi peluang kepada semua negara Asean untuk bertanding menonjolkan karya mereka kepada orang luar dan jika ianya diadakan pada setiap tahun, potensi untuk menghadapi masalah tidak cukup filem untuk dipertandingkan itu tinggi.

Menyedari peluang yang ada, AIFFA tahun ini memberikan ruang yang lebih kepada masyarakat muda untuk mendapatkan tunjuk ajar secara percuma dalam bidang ini agar mereka faham dan tahu akan tujuan sebenar mereka menghasilkan sesuatu produk sebelum dikongsikan kepada masyarakat.

Selain itu juga, penganjuran dua tahun sekali ini juga membuktikan AIFFA bukanlah sebuah acara yang sembarono dan syok sendiri.

Hal ini memetik pendapat Sharifah Amani yang menyatakan AIFFA ini bukan sahaja sebuah majlis yang menemukan penggiat seni serata Asia malah menjadi medium untuk memupuk rasa kecintaan, menghargai dan seterusnya mengeratkan silaturahim sesama penggiat filem negara Asean sekaligus menepis sifat bias dalam diri mereka untuk menerima karya dari negara lain.

Tambah beliau lagi, acara ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi kegembiraan, pendapat dan ilmu demi memperkembangkan pengetahuan mereka dalam bidang ini. Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan bersempena dengan AIFFA 2017 tahun ini.

Antaranya termasuklah acara utama iaitu malam gala dan anugerah filem, tayangan filem-filem tanpa henti dari seluruh Asia bertempat di pawagam terpilih di sekitar Kuching yang hanya perlu menyebut “MEOW” dan mendapatkan tiket tayangan fiilem dengan harga serendah RM1 sahaja.

Selain itu, pertandingan filem pendek belia dan seminar AIFFA Film Biz Word serta pameran filem-filem di mana aktiviti seminar yang dikendalikan oleh pengarah-pengarah terkemuka dunia.

Keadaan ini dilihat sebagai satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh anak muda pada masa kini untuk memperolehi ilmu penyiaran filem atau drama yang menjadi asas konkrit kepada pembentukan kebolehan mereka yang terkini dalam penghasilan produk Sinematogafi yang dapat diterima oleh semua masyarakat.

Tambahan pula, pembukaan malam AIFFA juga akan dijalankan di Panggung Udara, Kuching yanag akan menampilkan persembahan artis tempatan yang hebat seperti Dayang Nurfaezah dan Alleycats serta penampilan istemewa daripada Karakter Animasi pilihan Asean, Upin dan Ipin.

Lebih menarik lagi, seluruh warga Sarawak yang hadir pada 4 May 2017 nanti disarankan untuk menggunakan kostum kucing bagi mengamatkan lagi malam pembukaan itu nanti.

Saluran kreatif belia moden

Datin Paduka Shuhaimi Baba sedang mendengar soalan daripada salah seorang belia Sarawak, Fabian Hee.
Datin Paduka Shuhaimi Baba (kiri) sedang mendengar soalan daripada salah seorang belia Sarawak, Fabian Hee.

Belia seharusnya mencari ruang yang ada untuk keluar daripada zon selesa. Industri Filem pendek ini dilihat sebagai salah satu inisiatif untuk mereka mendapatkan peluang yang lebih cerah dalam kehidupan mereka. Tambahan pula, idea anak muda yang semakin global pada hari ini membuatkan mereka mampu menghasilkan idea yang lebih kreatif dan inovatif, sekaligus memberi nafas baru dalam industri filem pendek tempatan.

Jeremy Jecky, Antara Belia yang hadir dan bertanyakan soalan semasa majlis pelancaran AIFFA 2017.
Jeremy Jecky, antara belia yang hadir dan bertanyakan soalan semasa majlis pelancaran AIFFA 2017.

“Pembikinan filem tidak boleh dilakukan secara solo,” tegas Shuhaimi menyarankan agar belia dapat memupuk kerja berpasukan dalam penghasilan video/filem mereka. Tambahan pula, hal ini akan menjadikan belia Sarawak lebih berkualiti dan mempunyai daya saing yang tinggi dalam menjamin tahap produktiviti untuk menghasilkan sebuah produk yang bernilai dan berguna kepada semua orang.

Filem pendek ini juga memberi ruang kepada mereka untuk mengekpresikan perasaan dan ideologi mereka dalam sesuatu perkara berbentuk visual untuk dijadikan hiburan, pengajaran, pengetahuan dan penyuntik semangat kepada belia lain untuk terus berjaya dalam kehidupan.

Oleh yang demikian, belia Sarawak disarankan supaya terus bangkit mencari setiap ruang yang ada untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat maksimum.

Facebooktwitter