Oleh: Mohd. Hassnal Hakim Junaidi

JAB p1

Belia merupakan modal insan yang bertindak sebagai aset paling berpengaruh bagi sesebuah negara kerana golongan ini sebenarnya mempunyai aura dan kuasa yang tersendiri yang mampu menggoncang dunia satu hari nanti.

Kerajaan negeri juga menitikberatkan aspek belia kerana mereka merupakan aspirasi masa depan negeri untuk terus maju dalam mengukuhkan dan memastikan hala tuju pembangunan negeri dan Agenda Transformasi Pemerkasaan Pembangunan Belia dapat direalisasikan dengan jayanya.

Tambahan pula, belia hari ini haruslah tampil dengan kemahiran yang serba boleh agar kompetensi yang berlaku pada hari ini terutamanya dalam bidang memilih pekerjaan tidak menggangu gugat potensi mereka walaupun mereka tergolong dalam golongan kelas satu dalam bidang akademik.

Disamping itu juga, kestabilan dan keseimbangan pendidikan dan kemahiran belia bandar dan luar bandar ini harus dititikberatkan dan menjadi asas perjuangan kerajaan di negeri ini. Justeru itu, AZAM Sarawak mengambil inisiatif dalam meneruskan program-program berkaitan dengan belia.

Pemilihan lokasi luar bandar sememangnya dapat menyatupadukan idea dan karya anak muda dari bandar ke kawasan pedalaman yang ada segelintirnya tidak tahu akan apa yang berlaku di tempat lain selain dari kawasan mereka.

Oleh itu, Jejak Aspirasi Belia (JAB) telah diperkenalkan dan merupakan program pembangunan belia dan pelajar luar bandar yang menjadikan Lundu sebagai destinasi yang kelapan.

Program ini adalah kolaborasi AZAM Sarawak bersama dengan Yayasan Sarawak. Antara pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan ialah sesi ceramah mengenai pembangunan daerah Lundu dalam merealisasikan pembangunan belia yang stabil yang dikendalikan oleh pegawai daerah Lundu  Awang Putrayusri Awang Redzwan.

Pegawai daerah Lundu Awang Putrayusri Awang Redzwan ketika ditemubual oleh krew AZAM Sarawak.
Pegawai daerah Lundu Awang Putrayusri Awang Redzwan ketika ditemubual oleh krew AZAM Sarawak.

Tambahan pula, pengiktirafan Lundu sebagai Bandar Belia atau 1 Malaysia Youth City (1MYC) juga menjadi penyebab kepada usaha keras generasi muda ini untuk tampil dan berdaya saing diantara satu sama lain juga sanggup menerima persaingan dari luar.

“Setakat ini, pelbagai usaha pihak kerajaan telah laksanakan untuk menjadikan Lundu ini sebagai Bandar Belia, antaranya adalah seperti aspek infrastruktur, sukan, keusahawanan, sosial dan juga pendidikan,” katanya ketika ditemubual.

Disamping itu, Penolong Kanan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Jeffry Douglas William Nagun membawakan topik kemana hala tuju pelajar dan belia selepas tamat pengajian Tingkatan lima dan Tingkatan Enam.

Jeffry Douglas William Nagun (kiri) mengendalikan Ujian Psiko Metrik bersama peserta program.
Jeffry Douglas William Nagun (kiri) mengendalikan Ujian Psiko Metrik bersama peserta program.

Tambahan pula, belia turut menyelit sebuah aktiviti berkaitan dengan Ujian Psikometrik yang menjurus kepada klasifikasi identiti dalam pemilihan kerjaya dimasa hadapan.

Yayasan Sarawak juga mengambil bahagaian dalam memberikan taklimat berkenaan dengan penajaan dan bantuan pendidikan daripada Yayasan Sarawak Ceramah ini telah dikendalikan oleh Penolong Pengurus Tadbir Yayasan Sarawak Norakmarina Suhaimi, yang menekankan berkenaan dengan perbezaan dan deifinisi pinjaman, biasiswa dan program bantuan pendidikan yang disediakan oleh pihak Yayasan Sarawak kepada golongan belia di negeri ini.

Keadaan ini akan memudahkan generasi muda kini untuk mendapatkan peluang pendidikan yang mereka impikan. Tambahan pula, pelbagai skim biasiswa telah disediakan, antaranya biasiswa pinjaman pelajaran (dalam dan luar negara), serta biasiswa pinjaman latihan teknikal.

Kesemua jenis skim ini mempunyai kriteria tertentu berkenaan dengan syarat permohonon dan tujuan yang membolehkan sesseorang individu itu layak memohon.

JAB p2

Selain itu, Penolong Pengurus Unit Penempatan dan Kaunseling pelatih Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS)  Mohamad Hafeazal Suhaili juga hadir untuk memberi taklimat institusi kemahiran bagi warga Lundu.

Keadaan ini sangat relevan kerana Lundu merupakan destinasi lain bagi kampus CENTEXS yang bakal dibuka pada tahun 2018 nanti.

“Oleh sebab itu, anda semua (Belia dan pelajar Lundu) harus mengambil peluang ini agar Daerah Lundu ini dapat terus maju dan gemilang,” tambah beliau semasa membentangkan taklimat tersebut.

Selain itu, CENTEXS turut memperkenalkan beberapa kursus yang ditawarkan, seperti, Minyak dan Gas, Pembuatan dan Hospitaliti, Pembinaan, serta Elektrikal dan Pelabuhan yang pastinya dikendalikan oleh tenaga pengajar yang mahir dalam bidang dan kursus yang telah ditawarkan agar golongan muda ini berjaya keluar sebagi kilauan emas yang berbakti kepada negara.

Dalam arus permodenan kini, pembangunan bidang ICT turut menerima tempiasnya. Jika dulu perkembangannya agak perlahan namun kini peluang kerjaya dan kemahiran dalam bidang ini semakin mendapat perhatian dan punyai potensi yang besar di Sarawak.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Mohamad Nazim Jambli turun padang bagi memberikan taklimat berkenaan dengan keperluan ICT dalam kerjaya dan kemahiran ke arah ekonomi digital.

Ekonomi digital ini merujuk kepada kemudahan pengurusan ekonomi yang berlandaskan ICT dan ianya hanya boleh dilaksana menggunakan satu jari sahaja. Justeru itu, anak muda kini harus diperkenalkan terlebih dahulu berkenaan dengan penggunaan ICT yang betul agar mereka tidak menjadi golongan yang tidak celik IT.

Pada sebelah petang pula, para pelajar dibahagikan ke dalam sesi berkumpulan, antaranya adalah ‘Empowerment Through English Skill, Interview Skill for Success, Grooming for Success’ dan satu sesi baru yang diperkenalkan dalam program ini khas buat belia dan pelajar di Lundu iaitu Menjana Generasi Kreatif dan Inovatif.

Para peserta sedang berbincang dalam Sesi Kumpulan (Serentak)
Para peserta sedang berbincang dalam Sesi Kumpulan (Serentak)

Bagi kumpulan pertama iaitu ‘Empowerment Through English Skills’ membawa pelajar untuk berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris.

Sejajar dengan agenda kerajaan negeri kini yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan dan telah didokumenkan dalam perjanjian Malaysia semasa pembentukan negeri Sarawak pada tahun 1963 lagi.

Sesi soal jawab tambahan daripada para peserta kepada ahli Belia AZAM Hazwan Salleh
Sesi soal jawab tambahan daripada para peserta kepada ahli Belia AZAM Hazwan Salleh.

Selain itu, bagi sesi Interview Skill for Success pula, para peserta diperkenalkan dengan tatacara semasa menghadiri temuduga tidak kiralah ingin mendapat pekerjaan mahupun permohonan bagi biasiswa atau bantuan pendidikan yang lain.

Ahli Belia AZAM Hazwan Salleh menyatakan bahawa para peserta di luar bandar sememangnya mempunyai iltizam dan keyakinan untuk bersaing dengan belia dan pelajar di bandar.

“Belia di sini sememangnya mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya kerana semangat mereka yang berkobar-kobar,” tambah beliau ketika ditemubual. Dalam usaha pihak AZAM memastikan kesediaan belia dan pelajar yang versatile dan trendy, sesi yang ketiga iaitu Grooming for Success turut didedahkan kepada peserta di Lundu.

Sesi ini dikendalikan oleh sekretariat AZAM Sarawak Wasli Ismail dan dibantu oleh Ahli AZAM Young Souls (AYS) Wellingson Kuling. Sesi ini mengajar dan mendedahkan kepada peserta berkenaan dengan tatacara rias semasa menghadiri apa-apa majlis ataupun temuduga.

Tatacara Make Up yang betul bagi tujuan temuduga dan panduan kepada peserta untuk tampil lebih yakin di depan khalayak ramai
Tatacara Make Up yang betul bagi tujuan temuduga dan panduan kepada peserta untuk tampil lebih yakin di depan khalayak ramai

Penampilan diri yang betul ini sangat penting kerana ianya dapat meyakinkan diri dan menjadikan kita lebih berkredibiliti dalam menghasilkan sesuatu perkara menjadi lebih baik. Tambahan pula, suasana juga akan mejadi lebih ceria sekiranya penampilan diri kita juga terpelihara, bersih dan kemas.

Disamping itu, menyedari hakikat pentingnya perkembangan dunia ICT dalam agenda kerajaan yang menitikberatkan ekonomi digital masa kini, para peserta turut dibawa untuk menyertai sebuah sesi yang bertajuk “Menjana Generasi Kreatif dan Inovatif”.

Sesi yang dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Mohamad Nazim Jambli meminta agar peserta menghasilkan satu alat baru menerusi proses inovasi yang ditambah dengan kemajuan teknologi masa kini.

Peserta dibahagikan kepada enam kumpulan dan kesemua mereka dapat memberikan output yang baik dan berkualiti.

Sesi Pembentangan peserta yang disaksikan oleh seketariat AZAM dan peserta yang lain serta Dr. Nazim Jambli selaku ketua penilai kumpulan
Sesi Pembentangan peserta yang disaksikan oleh seketariat AZAM dan peserta yang lain serta Dr. Nazim Jambli selaku ketua penilai kumpulan

“Saya agak terkejut dengan ciptaan yang peserta hasilkan, dan ianya membuktikan mereka ini sememangnya berpotensi dan kami di UNIMAS menanti kehadiran mereka untuk menjadi salah seorang mahasiswa Universiti tempatan ini,” kata Dr Mohamad Nazim.

Program Pembangunan Belia dan Pelajar Luar Bandar AZAM dan Yayasan di Lundu sememangnya memberikan pelbagai maklum balas yang positif dari para pelajar dan guru.

Para pelajar dan guru memberikan harapan mereka agar program sebegini dapat diteruskan oleh pihak AZAM, Yayasan Sarawak dan juga pelbagai agensi lain yang terlibat.

Seterusnya, program ini akan terbang ke daerah Pakan, Sarikei dalam masa terdekat ini. Jadi para belia pelajar di Pakan, tunggu kedatangan pihak AZAM dan Yayasan Sarawak ke daerah anda.