Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak telah mengadakan pameran bersempena dengan  Hari bersama belia Mukah dalam Ekonomi Digital anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Sarawak Multimedia Authority (SMA)  pada 10 Oktober 2018 yang lalu. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk mendekatkan fahaman ekonomi digital dalam diri belia Mukah.

Program satu hari ini melibatkan sesi ceramah daripada wakil Sarawak Multimedia Authority (SMA) iaitu  Encik Hazwan Razak yang memberikan Pengenalan kepada Ekonomi Digital sekaligus memulakan sesi 1 bagi program, tersebut, manakala  sesi 2 pula  diikuti dengan pembentangan daripada Tuan Safari Bin Ali, Timbalan Peguam Besar Negeri, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak yang membincangkan topik berkenaan dengan Ordinan Minyak dan perlombongan & MA63 diikuti dengan sesi 3 yang dikendalikan oleh Saudara Haris Abdullah yang membicarakan tentang testimoni Usahawan Berjaya dan bagi sesi petangnya pula adalah sesi Townhall  “Digital Inclusivity With The Youth” bersama YB Yussibnosh Balo, ADUN N57 Tellian, YB Abdul Yakub Arbi, ADUN N58 Balingian dan YB Dato Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen P213 Mukah.

Booth Pameran AZAM Sarawak melibatkan pengenalan kepada AZAM Sarawak, bidang tugas, dan kumpulan sasar yang menjadi tumpuan kepada aktiviti dan program yang dijalankan oleh AZAM Sarawak. Selain itu, terdapat juga Kuiz dan permainan yang melibatkan ekonomi digital dijalankan oleh Sukarelawan Belia AZAM yang dibawakan khas dari Kuching untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis ini. Tambahan pula, pihak AZAM turut berkesempatan menemubual beberapa belia Mukah yang aktif bagi video pendek yang akan dihasilkan untuk mengetahui pendapat dan pandangan daripada mereka mengenai bidang ini yang akan dimuat naik ke siaran Youtube AZAM iaitu AZAM Online TV.

Selain AZAM Sarawak, terdapat beberapa agensi lain yang turut mengambil bahagian, antaranya seperti Pustaka Negeri Sarawak, Pusat Internet Kluster Mukah, Centex Dalat,ICATS dan PPKS Mukah, Kelab Seni Belia Mukah, Ajakcut Barbershop, QM Services, Hasiah Henna Art dan Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) Mukah. Sebanyak 300 orang belia Mukah mengambil bahagian. Mereka terdiri daripada belia dari sekitar parlimen Mukah meliputi kawasan Balingian, Telian dan Dalat, Pelajar dan kakitangan Politeknik, Uitm, PPKS, serta guru-guru dari Pejabat Pendidikan Bahagian Mukah.

Mukah merupakan lokasi pertama dan program ini akan diadakan di Sri Aman dan Lawas pada bulan November 2018 nanti menurut pihak penganjur.