KUCHING:Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak akan menganjurkan beberapa siri seminar dan bengkel bagi pengaruh media sosial Sarawak bermula 19 Oktober ini di sini. 

Bertemakan ‘Influencers with a Cause’, siri bengkel Program Pembangunan Pengaruh Media Sosial Sarawak ini turut mendapat kolaboratif daripada Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS).

Antara yang diundang untuk berkongsi tip pada program itu nanti ialah YouTuber Cardock atau dikenali sebagai Fadhil Mohamad Isa yang akan memberi ceramah bertajuk ‘Perjalanan ke arah menjadi Pengaruh Media Sosial’.

Ahli strategi pemasaran berpengaruh, Bvern Yip dan Daphne Teoh dari Kuala Lumpur juga diundang untuk berkongsi tip kepada peserta.

Turut diadakan forum bagaimana untuk memperkasakan pengaruh sosial media bagi impak sosioekonomi yang tinggi.

Forum ini akan menampilkan Kumpulan AnyMind serta personaliti radio Kuching dan pencipta kandungan di sebalik Makcik Bawang Champion – Afick Wazai dan Fir Affandi sebagai ahli panel.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Perhubungan AZAM Sarawak Nissa Normin menerusi talian 082-411799 atau e-mel kepada nissa@azam.org.my.