Kuiz Digital – Meningkat Kesedaran Ekonomi Digital Kalangan Masyarakat.

Ekonomi digital berkembang dengan pesat terutamanya pada peringkat global di mana teknologi dan platform digital semakin digunakan dengan meluas dalam sosio-ekonomi masyarakat sedunia. Usaha untuk memastikan Sarawak tidak ketinggalan dalam dunia digital perlu dipergiatkan. Perkara ini penting apabila melibatkan masyarakat luar bandar.

Program Randau Digital Komuniti anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) yang diadakan pada 20 Mac 2023 di Bahagian Sri Aman menyumbang kepada usaha tersebut.

Selain daripada slot pembentangan dan pembukaan booth pameran oleh rakan usaha sama, pihak penganjur telah mengadakan pertandingan Kuiz Digital sebagai langkah untuk membantu para peserta lebih memahami agenda ekonomi digital Sarawak. Kuiz ini memfokuskan maklumat yang telah disampaikan oleh para pembentang sepanjang berlangsungnya program Randau Digital Komuniti.

Hampir 200 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan dari 5 daerah di Bahagian Sri Aman telah hadir pada program Randau berkenaan.

Antara agensi yang mengikuti slot pengisian adalah Sarawak Multimedia Authority (SMA), Peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM),TIMOGAH Sdn. Bhd, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Centre for Technology Excellance Sarawak (CENTEXS) dan Majlis Daerah Sri Aman.

Antara topik yang diketengahkan dalam Kuiz Randau Digital Komuniti adalah:

  1. Pertanian pintar
  2. Fungsi Digital Innovation Hub (DIH)
  3. Peranan utama Sarawak Multimedia Authority (SMA)

Rata-rata peserta kuiz berupaya memahami intipati mesej program Randau.

(Pemenang, Mohamad Iwan menerima hadiah yang disampaikan oleh YB Datuk Datuk Francis Harden ak Hollis)

Mohamad Iwan Bin Azlan, seorang pelajar di GIATMARA Sri Aman merupakan pemenang hadiah utama, sebuah Ipad untuk Kuiz Randau Digital Komuniti. Beliau berjaya menjawab ketiga-tiga soalan dengan tepat dan menunjukkan bahawa beliau faham mengenai topik-topik yang telah dikongsi dalam slot pengisian oleh agensi-agensi yang dijemput.

Mohamad Iwan berkata, ‘Program ini dapat membantu saya memahami tentang ekonomi digital dan secara tidak langsung cara untuk mengaplikasinya dalam kehidupan seharian’.

Kuiz Digital ini merupakan pelengkap kepada program Randau Digital Komuniti SMA-AZAM 2023 yang bertujuan menggalak masyarakat setempat menyelami agenda ekonomi digital Sarawak melalui aktiviti yang bersifat interaktif.

Diharapkan program Randau Digital Komuniti ini dapat membantu memastikan keterangkuman digital dalam kalangan masyarakat Sri Aman dan menggalakkan mereka mengorak langkah yang seterusnya ke arah mencapai ekonomi digital yang mantap.

Berikut merupakan kompilasi jawapan-jawapan kepada soalan kuiz digital dan pertandingan slogan di bawah program Keterangkuman Digital SMA-AZAM setakat bulan Mac 2023.

Slogan Terbaik : “Saya suka kuiz digital SMA-AZAM Sarawak kerana pelbagai info pembangunan digital yang boleh kami perolehi dari soalan kuiz dan menjadikan kami komuniti yang bersedia digital.”

Jawapan terbaik kuiz digital sepanjang bulan Mac:

1.“ Usaha yang boleh dibantu oleh rakyat Sarawak untuk membantu kerajaan untuk merealisasikan digital menjelang 2030 dengan mengadakan pelbagai program dan kempen kesedaran digital seperti yang dilakukan oleh SMA dan AZAM Sarawak.”

2.“Terdapat pelbagai kelebihan pertanian pintar berbanding dengan pertanian konvensional. Antaranya adalah seperti dapat memantau cuaca untuk memastikan hasil tani subur. Seterusnya, alatan seperti drone dapat digunakan untuk menabur baja dan menyiram tanaman bagi kawasan yang luas.”

4.“Antara fungsi utama Digital Inovation Hub Sri Aman adalah memberi peluang kepada usahawan baharu menggunakan kemudahan seperti ruang pejabat, internet dan sebagainya. DIH juga dapat digunakan untuk mesyuarat dan penganjuran program.”

5.“Peranan Sarawak Multimedia Authority ialah untuk meneraju, menyelia dan memudahkan pembangunan dan perlaksanaan komunikasi, multimedia dan inisiatif ekonomi digital negeri.

(Peserta dari pelbagai peringkat umur teruja dengan kuiz digital di Sri Aman)