Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Begitulah antara peribahasa melayu yang amat sesuai dikaitkan dengan salah satu program belia AZAM yang berlangsung pada 15 dan 16 Februari 2014 lalu.

Didik generasi baru

Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memperkasa belia generasi baru dengan ilmu kepimpinan, selari dengan kepentingan peranan belia dalam memajukan negeri Sarawak dan mereka ini merupakan bakal pemimpin pada masa akan datang.

Program ini turut bertujuan mendidik belia yang baru berdaftar sebagai AZAM Young Souls agarlebih terbuka dan faham mengenai nilai-nilai kesukarelaan yang perlu ada dalam setiap diri mereka.

“Kesukarelaan ini seharusnya dipupuk dari awal lagi. Di usia yang masih muda, para belia seharusnya mengetahui betapa pentingnya semangat kesukarelaan ini sekaligus membentuk insan yang berintelektual tinggi dalam membantu masyarakat dan pembangunan negeri Sarawak”, ujar saudara Hamzah Saufi, seorang sukarelawan dari Yayasan Salam dan merupakan salah seorang fasilitator jemputan untuk program tersebut.

 

Sesi Randau Pembangunan

Program dua hari tersebut telah memuatkan satu sesi bersama agensi pembangunan negeri bergelar “Randau Pembangunan”. Sesi ini bertujuan mendedahkan peranan serta usaha agensi-agensi pembangunan Sarawak dalam membentuk belia untuk pembangunan semasa.

Memperkasa belia dalam pembangunan sosial

Satu daripada agensi berkenaan adalah Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak yang diwakili oleh Encik Paul Kawin yang telah menekankan pentingnya penglibatan belia dalam usaha ke arah pembangunan sosial negeri.

Beliau juga menerangkan peranan agensi dalam membimbing belia agar lebih bersedia dalam menghadapi cabaran masa kini.

Encik Paul Kawin turut memaklumkan beberapa program belia yang telah disusun atur oleh agensi pada tahun ini. Antaranya seperti kursus pemerkasaan belia luar bandar, kem kepimpinan remaja, Pesta Seni Belia, Volunteerism dan Kerjaya serta Kembara Pemotoran Belia Sarawak.

Melahirkan “Wira” Alam Sekitar

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak yang turut dijemput untuk sesi Randau Pembangunan dan diwakili oleh Puan Vijaya Menon, Pegawai Kawalan Alam Sekitar, telah menekankan pentingnya untuk para belia mengetahui isu-isu alam sekitar seperti pembuangan sampah sarap dan pencemaran sungai di Sarawak.

Beliau percaya bahawa para belia mampu mengubah keadaan persekitaran di bandaraya khususnya tempat tumpuan para pelancong ke arah bandaraya yang sihat dan ceria.

Selain itu, Puan Vijaya juga turut berkongsi maklumat statistik mengenai pencemaran sungai di Sarawak di mana ini penting untuk para belia mengetahui akan keadaan persekitaran bandaraya yang mereka diami.

“Pendedahan mengenai isu alam sekitar ini penting bagi para belia seperti kami kerana ini merupakan satu cabaran untuk belia memastikan persekitaran tempat yang di diami adalah berada dalam keadaan yang ceria dan sihat. Justeru itu, saya sendiri juga ingin menjadi seorang “wira” alam sekitar bagi memastikan bandaraya yang harmoni dan ceria dapat dicapai”, ujar Amir Hamzah iaitu salah seorang peserta program #ayckickstart 2014.

Ke arah bandaraya yang harmoni

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut dijemput untuk berkongsi maklumat dalam sesi Randau Pembangunan di mana Datuk Bandar Kuching Utara, Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Wahap Bin Haji Abang Julai, turun padang untuk bersama dengan para belia yang mengikuti program ini.

Datuk Bandar telah menyeru belia agar bergiat aktif dalam pembangunan bandaraya menerusi penglibatan sosial, budaya dan keusahawanan belia dalam membantu proses pembangunan di Sarawak terutamanya dalam merealisasikan agenda kerajaan untuk menghidupkan suasana bandaraya Kuching dan menjadikan ia sebagai sebuah bandaraya yang kaya dengan elemen kebudayaan dan keharmonian sosial yang lebih jitu.

Kepimpinan melalui kaca mata belia

Saudara Syed Nizamuddin, iaitu salah seorang belia Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia turut dijemput untuk berkongsi pengalaman serta pandangan beliau mengenai kepimpinan di kalangan belia masa kini.

Perkongsian beliau telah sedikit sebanyak memberi keyakinan kalangan para peserta agar tidak perlu gentar apabila berhadapan dengan generasi yang lebih dewasa dan berpengalaman

Pengisian ke arah matlamat AZAM

Sesi berkumpulan bertemakan “Young Souls & the City” jelas menyaksikan suasana yang gamat, ceria dan teruja ditunjukkan oleh para belia ini dalam memberi pandangan serta idea mengikut minat masing-masing. Sesi berkumpulan dibahagikan kepada Industri Kreatif, Kesukarelawan, Budaya & Warisan, Sukan & Rekreasi, dan Alam Sekitar.

Kumpulan Industri kreatif menyaksikan para belia yang berminat dalam bidang perfileman dan video berkumpul dan berbincang mengenai tugasan mereka untuk mengeluarkan satu filem pendek bertemakan Tahun Melawat Sarawak, yang turut dibantu oleh para fasilitator iaitu kumpulan produksi usahawan belia Orgkampong dan pensyarah UNIMAS iaitu Puan Candida Jau.

Kumpulan kesukarelaan lebih memfokuskan kepada cadangan aktiviti, peranan serta tanggungjawab belia dalam melakukan kerja-kerja amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik. Saudara Hamzah Saufi dari Yayasan Salam telah menekankan agar belia Sarawak perlu melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelaan kerana ia mampu memberi pengalaman yang berharga serta meningkatkan keyakinan diri belia dalam pembangunan negeri.

Berbeza pula bagi kumpulan Budaya dan Warisan di mana peserta dididik untuk menjadi pencinta warisan budaya terutamanya negeri Sarawak yang kaya dengan budayanya. Encik Gerald Goh, pengurus Absolute Tribal telah berkongsi cara-cara kreatif dan inovatif dalam pembangunan produk seni dan kraf misalnya menggunakan motif etnik Sarawak dalam lukisan dan fesyen. Cik Rossalynn Ismail, Pensyarah Universiti Lim Kok Wing Borneo pula membantu membimbing ahli kumpulan dalam penghasilan muzik “fusion” tradisional serta moden.

Kumpulan Sukan dan Rekreasi pula mencadangkan beberapa aktiviti bagi peminat sukan samada sukan estrem atau biasa seperti Street Soccer dan futsal yang turut dibantu oleh Jabatan Belia dan Sukan Sarawak.

Kumpulan Alam Sekitar pula mendalami isu alam sekitar sebagai satu persiapan ke arah program Seminar Alam Sekitar Belia yang bakal diadakan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak dan AZAM Sarawak.

Mereka bukan sahaja berkongsi pandangan serta idea malah bekerjasama membentuk satu pasukan dalam menghasilkan produk serta idea yang bernas dalam merancang aktiviti serta program untuk belia tahun 2014 selari dengan agenda pembangunan negeri khususnya ke arah bandaraya yang harmoni dan berbudaya.

Saranan Untuk Belia

Semasa majlis penutupan program, Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Karim Bin Rahman Hamzah, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Sarawak dan Menteri Muda Perumahan Sarawak telah menyeru golongan belia agar memajukan diri mereka kerana mereka merupakan generasi pelapis yang akan memimpin negara pada masa hadapan.

Mereka mampu mencetus idea baru serta merancang aktiviti yang menarik yang boleh dijalankan oleh AZAM Youth Central untuk sepanjang tahun ini.

Hanya dalam masa yang singkat juga, mereka mampu mempersembahkan tarian dan nyanyian serta video untuk mempromosikan Tahun Melawat Sarawak 2014 dengan jayanya.

Di sini jelas bahawa belia Sarawak yang mempunyai potensi dan berbakat besar perlu dididik serta dibimbing secara berterusan agar mereka dapat membimbing generasi belia masa kini, masyarakat dan negara ke tahap yang lebih tinggi di masa hadapan.

Langkah seterusnya

Susulan kepada program #ayckickstart 2014 ini, AZAM telah menyusun atur beberapa aktiviti yang bakal diadakan pada bulan Mac termasuk “Live @ Wayang Street Feat. Kuching Youth Day Out 2,0” iaitu satu program khas untuk belia menonjolkan bakat mereka dalam membantu agenda kerajaan untuk menceriakan Bandaraya Kuching.