marudi

Jejak Aspirasi Belia Marudi

marudi

 

Destinasi program Jejak Aspirasi Belia kali ini memilih Pekan Marudi sebagai lokasi iaitu sebuah pekan yang tertua di Sarawak. Program kali ini merupakan satu usaha AZAM Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Marudi dalam mendekati serta menghubungkan belia bandar dan belia luar bandar selain dari menyampaikan maklumat pembangunan kepada masyarakat di Marudi.

Sukarelawan belia AZAM meriahkan Dataran Marudi

Program selama dua hari yang bermula pada hari Sabtu menyaksikan sukarelawan belia AZAM mengadakan aktiviti-aktiviti seperti busking, pertandingan serta demonstrasi papan selaju (Skateboard) dan senam tari di Dataran Marudi.

Seramai lebih kurang 30 orang warga Marudi yang terdiri daripada belia-belia Marudi telah menyertai dengan sumbangan aktiviti selama setengah hari itu. Turut menyertai aktiviti pada pagi itu adalah para pelajar dari Giatmara Baram.

Tujuan aktiviti tersebut diadakan adalah bagi menyumbang kepada masyarakat Marudi aktiviti menarik dan sihat boleh dijalankan di Pekan Marudi khasnya di Dataran pekan tersebut kerana ia merupakan satu lokasi yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah pekan Marudi.

Selain daripada memastikan suasana pekan Marudi ceria dengan aktiviti-aktivit sihat, ia juga boleh dijadikan sebagai tempat tumpuan pelancong. Gabungan peminat sukan ekstrem

Program Jejak Aspirasi Belia Marudi kali ini juga memperlihatkan gabungan peminat sukan ekstrem dari Miri, Kuching dan Marudi. Aktiviti sukan ekstrem pada hari Sabtu diketuai oleh Miri Skateboarding Group.

“Kami sebelum ini mengakui tidak pernah datang ke pekan Marudi, dan pada hari ini ia menjadi sejarah buat kami kerana dapat bersama-sama peminat sukan ekstrem di sini dan berkongsi pengalaman serta mempelajari trick yang baru bersama mereka” ujar saudara Gaddafi, pemain papan selaju dari Miri.

Menurut salah seorang belia dan juga pemain papan selaju dari Marudi, saudara Amirul, beliau amat teruja dengan kehadiran belia dari Miri dan Kuching khususnya mereka yang mempunyai minat yang sama dalam sukan ekstrem.

“Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana telah banyak memberi dorongan, nasihat dan ilmu kepada kami di sini dan berharap agar mereka dapat datang lagi ke pekan Marudi.”

Bertandang ke Dewan Suarah Baram bersama belia

Program Jejak Aspirasi Belia Marudi diteruskan lagi untuk hari kedua (Ahad) di mana program ini telah berlangsung di Dewan Suarah Baram, Marudi yang melibatkan seramai kira-kira 500 pelajar dari dua buah sekolah yang berbeza di Marudi iaitu SMK Telang Usan dan SMK Marudi.

Kehadiran sukarelawan belia AZAM dari Kuching ternyata memberi impak yang besar kepada dua buah sekolah yang dijemput.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun rapi bagi memastikan objektif program iaitu mengajak belia luar bandar untuk menyertai satu “perjalanan” yang unik dalam menimba ilmu, mencungkil bakat dan menggilap kemahiran untuk menyumbang kepada gelombang terkini pembangunan negeri Sarawak.

Elemen Jejak Aspirasi Belia

Program Jejak Aspirasi Belia ini terbahagi kepada beberapa aktiviti yang mengenengahkan elemen motivasi, gaya hidup sihat, pembangunan bakat kreatif, bimbingan pendidikan dan kerjaya, merapatkan jurang generasi antara ibubapa dan pelajar, dan meningkatkan pemahaman mengenai peranan agensi kerajaan di antara masyarakat tempatan.

Di akhir program tersebut, para sukarelawan belia AZAM bersama para pelajar dari SMK Marudi dan SMK Telang Usan telah membuat persembahan pentas dan menunjukkan bakat masing-masing dalam Konsert Ekspresi Belia.

Peluang pelajar mengetahui peranan agensi

Dengan berkonsepkan randau perkongsian peranan agensi-agensi kerajaan, terdapat dua sesi randau berlangsung pada sebelah pagi iaitu Randau Pendidikan dan Randau Pembangunan.

Encik Zakaria Abdul Rajak iaitu Pengurus Besar Giatmara Baram berkongsi serba sedikit mengenai usaha Giatmara dalam memberi ilmu teknikal kepada para pelajarnya. “Kita kini di era yang maju ke hadapan. Justeru itu, kita haruslah mendidik anak-anak kita bukan sahaja dari segi pendidikan sosial akan tetapi juga melalui pendidikan dalam bidang-bidang teknikal.” ujar beliau.

Randau Pembangunan pula menyaksikan dua agensi iaitu Pejabat Daerah Marudi yang diwakili oleh Puan Norlila Haji Ulis, Penolong Pegawai Daerah Marudi telah berkongsi tentang peranan masyarakat Marudi untuk bersama-sama menjadikan pekan Marudi sebuah destinasi yang aman dan harmoni untuk dikunjungi dan pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan.

“Sebagai sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama, kita haruslah bersama-sama membangunkan pekan Marudi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan Pejabat Daerah Marudi berharap penglibatan masyarakat khususnya golongan belia untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti sihat di sini.” ujar beliau semasa pembentangan dalam sesi Randau Pembangunan.

Sarjan Achai anak Nyarung iaitu wakil dari Ibu Pejabat Polis Marudi pula berkongsi mengenai kesan-kesan akibat melakukan jenayah dan peranan pihak polis dalam membendung gejala tidak sihat. “Tujuan saya mendedahkan kesan ataupun hukuman-hukuman yang bakal dikenakan terhadap mereka yang melakukan jenayah adalah bagi mendidik dan menyedarkan masyarakat khususnya golongan belia di sini agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak melakukan sebarang kegiatan tidak sihat.”

Dari belia untuk belia

Program Jejak Aspirasi Belia ini tidak lengkap sekiranya tiada perkongsian daripada para belia sendiri. Para pelajar sekolah berpeluang untuk mendengar perkongsian pengalaman serta kerjaya para sukarelawan belia dari Kuching.

“Saya secara jujurnya tersentuh dengan kata-kata semangat yang disampaikan oleh saudara Haikal kerana saya mempunyai minat yang sama seperti beliau iaitu bermain papan selaju (skateboard), meskipun saya seorang perempuan.” ujar adik Siti Natasha Abdullah, pelajar tingkatan 5 dari SMK Telang Usan.

Saudara Haikal merupakan seorang pemain sukan ekstrem dari Kuching dan antara salah seorang sukarelawan belia AZAM yang turut bersama menyertai program Jejak Aspirasi Belia Marudi.

Selain permainan sukan ekstrem, program Jejak Aspirasi Belia ini juga mengajak para belia luar bandar mempelajari dan bersama-sama berkongsi ilmu dalam bidang muzik moden dan tradisional, mempelajari teknik vokal, dan bidang tarian.

Mengetengahkan bidang multimedia kepada belia

Bidang multimedia adalah antara sesi yang turut mendapat perhatian di kalangan para belia Marudi. Menurut Dzulfiqkhar Ali, seorang sukarelawan belia AZAM dan seorang juru videografi dari ORGKampong Production, iaitu sebuah syarikat persendirian yang memfokuskan kepada pembuatan klip video, filem pendek, iklan yang bertapak di Kuching begitu teruja dengan sambutan para belia mengenai bidang.

“Saya tidak menyangka ramai pelajar di sini ingin mengetahui sedikit sebanyak mengenai bidang multimedia. Saya berharap agar pelajar di sini dapat memanfaatkan dan menimba ilmu yang lebih mendalam dalam bidang yang mereka ingin ceburi ini.” ujar beliau.

Perkasa semangat kesukarelaan di kalangan belia luar bandar

Program Jejak Aspirasi Belia Marudi telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Sylvester Entri Anak Muran Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Kementerian Kemudahan Awam Sarawak.

“Golongan belia pada hari ini juga perlu mencari jalan untuk mencapai kejayaan dan menjamin kehidupan untuk masa depan. Melalui program sebegini, ia dapat mendidik generasi belia kini untuk menjadi pemimpin dan percayakan kepimpinan sendiri. Saya berharap agar program ini dapat diteruskan pada tahun depan “. Ujar beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada AZAM Sarawak kerana tidak melupakan Marudi untuk dijadikan sebagai lokasi bagi menyebarkan maklumat pembangunan dan mengadakan aktiviti untuk para belia di Marudi.

AZAM Young Souls mempunyai pusat mereka sendiri bertempat di Medan Pelita Kuching yang dikenali sebagai AZAM Youth Central. Para pembaca juga boleh melihat pelbagai visual menarik menerusi AZAM Online TV di saluran YouTube pada masa yang terdekat.