By Nissa Normin

Keunikan budaya dan landskap muka bumi di Sarawak telah menarik minat ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2019 untuk membuka tirainya sekali lagi di Kuching, Sarawak dan akan bermula pada 25 hingga 27 April.  Acara gemilang ini akan melibatkan sebanyak 16 buah anugerah dipertandingkan dan melibatkan penyertaan lebih dari 10 negara ASEAN.

Pihak AZAM telah diundang ke majlis perasmian AIFFA untuk kali yang keempat di Sarawak pada 25 Januari yang lalu yang telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Seramai 15 orang wakil dari AZAM Sarawak termasuk lima orang belia AZAM Young Souls telah terlibat bersama dalam menjayakan majlis pelancaran yang lalu.

Selaras potensi Sarawak sebagai lokasi set penggambaran filem yang semulajadi dan kreatif, Mohd Saifullah Haini atau lebih dikenali sebagai Seph Haini, pengasas Spativate dan ahli AZAM Young Souls bersetuju dengan adanya AIFFA ia dapat mempromosi dan memberikan inspirasi kepada anak muda untuk berkecimpung dalam bidang hiburan dan industri penciptaan kandungan khasnya.

Seph Haini, salah seorang ahli AZAM Young Souls yang turut hadir ke majlis pelancaran AIFFA 2019.
Seph Haini, salah seorang ahli AZAM Young Souls yang turut hadir ke majlis pelancaran AIFFA 2019.

“Kenyataan Sarawak dipilih sebagai tempat tetap dalam penganjuran AIFFA akan meletakkan nama bandar, negeri dan negara kita sebagai hab kreatif yang terkenal di peringkat antarabangsa,” ujar beliau lagi.

Menurut Fabian Hee, juruvideo bebas dan salah seorang belia AZAM Young Souls yang turut hadir ketika majlis perasmian, beliau menyifatkan bahawa acara berprestij seperti AIFFA setidaknya boleh meningkatkan kesedaran umum mengenai pelbagai jenis kandungan dan filem yang tersedia di rantau ini, khususnya pada filem-filem Asia Tenggara.

”Disebaliknya itu, AIFFA akan membawa penciptaan kandungan yang lebih pelbagai dari belia tempatan dan diharapkan para belia ini dapat meletakkan Sarawak untuk dikenali di seluruh dunia,” jelas beliau lagi.

Di samping itu juga, acara yang dianjurkan selang dua tahun sekali ini secara tidak langsung memberi ilham kepada para penggiat seni untuk lebih aktif dalam menghasilkan filem dan juga berpeluang untuk mengenali dan memahami tentang penghasilan filem yang lebih bermutu untuk tontonan masyarakat.

DSC07373

Fabian turut mengutarakan pendapat beliau agar acara berprestij seperti AIFFA ini dapat memupuk hubungan antara penggiat filem dengan pemimpin serantau agar dapat membantu dalam meningkatkan industri tempatan untuk lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurut Seph pula, beliau berharap agar acara seperti AIFFA ini akan memudahkan beliau untuk lebih memahami tentang bagaimana filem-filem yang ditayangkan terpilih sebagai untuk bertanding dan beliau berminat untuk mengetahui tentang kriteria-kriteria yang dipertandingkan dan meletakkan AIFFA ini berbeza dengan acara-acara berprestij yang lain.

Justeru itu, AIFFA memainkan peranan yang besar dan luas kepada para penggiat seni di Sarawak khususnya kerana pelbagai manfaat dapat diketengahkan dengan adanya AIFFA di negeri ini.

Perkara ini dipersetujui oleh Fabian dan Seph apabila mereka mengatakan acara seperti AIFFA dapat ditonjolkan lagi dengan adanya penglibatan atau penyertaan belia dalam aktiviti seperti bengkel perfileman. Ini akan lebih bermanfaat untuk bakat yang berpotensi pada masa hadapan yang seterusnya menjadi penyumbang sebagai penggiat seni di Sarawak.

Artis terkenal tanah air, Vanidah Imran dan Pengarah filem, U-Wei Shaari turut berkongsi pengalaman dan penglibatan mereka dalam bidang perfileman.
Artis terkenal tanah air, Vanidah Imran dan Pengarah filem, U-Wei Shaari turut berkongsi pengalaman dan penglibatan mereka dalam bidang perfileman.

Tambahan Seph pula, pihak berkepentingan juga memainkan peranan penting dalam memastikan penglibatan belia khususnya dalam bidang perfileman ini untuk memastikan penglibatan belia yang lebih aktif dalam industri kreatif dan industri tempatan dan seterusnya menarik minat bakat-bakat yang terpendam balik semula ke Sarawak.

Justeru itu, tidak dinafikan bahawa AIFFA merupakan acara berprestij yang boleh membawa naik nama-nama penggiat seni tanah air untuk leboh dikenali dimata dunia dan para belia di Sarawak berpotensi untuk menonjolkan bakat masing-masing dalam industri kreatif ini. Menjadikan Sarawak buat kali keempat sebagai tempat berlangsungnya acara ini akan meletakkan nama Sarawak untuk menjadi terkenal menerusi penggambaran filem-filem pada masa akan datang.