Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dr. Zaidi Razak menjawab soalan yang diajukan oleh Juruhebah Sarawak FM yang bertugas Azman Johari.
Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dr. Zaidi Razak menjawab soalan yang diajukan oleh Juruhebah Sarawak FM yang bertugas Azman Johari.

 

KUCHING: Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan terus komited dalam mentransformasikan negeri ini ke arah ekonomi digital walaupun terdapat perubahan norma baharu yang berpunca daripada pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dr. Zaidi Razak berkata, SMA dengan misi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang sosioekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan belia dijadikan rujukan utama untuk membangunkan pertubuhan ekonomi di Sarawak.

“Antara usaha yang telah dijalankan oleh SMA dalam mengatasi jurang digital di Sarawak adalah dengan melaksanakan Sarawak Multimedia Rural Telecommunication (SMART), sebanyak 600 tempat di kawasan pedalaman dan luar bandar telah dilaksanakan secara berperingkat.

“Sungguhpun begitu, usaha yang dilaksanakan ini tidaklah mudah seperti yang disangkakan kerana banyak cabaran yang perlu dilalui oleh pihak SMA terutamanya dalam kerja0kerja pembinaan dan pemasangan menara seperti jalan masuk yang sukar dilalui, kemudahan jalan raya yang terhad (penggunaan bot), pertikaian hak milik tanah dan keadaan bentuk muka bumi yang berbukit bukau,” katanya kepada pemberita.

Walaupun negara menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga ke hari ini, kerja-kerja pembangunan menara telekomunikasi tetap diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“SMA dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus meningkatkan hubungan jalur lebar ke kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

“Selain itu, pelbagai usaha telah di buar untuk mempertingkatkan jaringan bertaraf 5G di Sarawak yang juga melibatkan pelbagai projek infrastruktur telekomunikasi yabg sudah dirancang dan ada yang sedang dilancarkan di bawah usaha Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dan sejajar dengan National Fiberisation Connectivity Plan (NFCP) SKMM,” tambahnya.

Program Sembang DIgital Normal Baru menerusi Sarawak FM ini dianjurkan oleh SMA dengan kerjasama AZAM Sarawak.

Temubual ini telah ke udara selama 15 minit dalam episod kedua yang ke udara pada 28 Ogos 2020.