KONGSI MAKLUMAT: Zaidi ketika ditemu bual di konti ASTRO Radio (ERA) bersama juruhebah Elya.
KONGSI MAKLUMAT: Zaidi ketika ditemu bual di konti ASTRO Radio (ERA) bersama juruhebah Elya.

KUCHING: COVID-19 sememangnya memberi impak besar kepada semua penduduk dunia terutama dalam kebergantungan rakyat kepada Internet.

Suka atau tidak, kini hampir semua program yang dijalankan melibatkan aplikasi dan elemen Internet.

Justeru, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) giat menggalakkan penglibatan orang ramai dalam menguasai literasi digital. 

Pengurus Besar SMA Dr. Zaidi Razak berkata, SMA merangkumi semua aktiviti digital yang melibatkan penglibatan kerajaan negeri.

“Ia bertanggungjawab dalam mengkoordinasikan aplikasi dan program digital yang dicadangkan. Malah SMA terlibat dengan penciptaan gelang tangan kod QR pada kemuncak kes COVID-19 dan ia merupakan alatan yang wajib digunakan untuk memantau pergerakan individu yang diarahkan untuk kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Beliau menambah, langkah sebegini amat penting agar dapat menghubungkan maklumat sekiranya individu tersebut didapati positif COVID-19 selain membantu mengehadkan pergerakan serta penularan wabak ke kawasan Zon Hijau.

Mengenai aplikasi CovidTrace pula katanya, ia hanya mengambil masa penyediaan dua minggu sejak penularan wabak COVID-19.

Menurut Zaidi, aplikasi itu merupakan cadangan daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada salah satu penyedia perkhidmatan SMA iaitu Sains Information System Sdn Bhd Sarawak.

Melalui aplikasi itu ujarnya, segala maklumat dan data pengguna lain tidak akan disebarkan kepada pihak ketiga melainkan pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dapat mengakses data tersebut dengan tujuan menjejaki lokasi individu yang mempunyai simptom dan sudah positif COVID-19.

Selain itu, tambah beliau SMA juga merancang meluas lebarkan kesalingsambungan Internet kepada masyarakat di luar bandar Sarawak menerusi projek-projek utama seperti pembinaan menara dan penyediaan Internet yang sama seperti di bandar. 

“Ia sejajar dengan apa yang telah diperuntukkan kerajaan Sarawak supaya tidak ada mana-mana kelompok yang tertinggal.

“Dengan usaha sedemikian juga, penduduk luar bandar berpeluang menikmati kelengkapan yang ada di pusat komuniti digital yang terdapat di kawasan mereka,’ katanya.

Pada masa datang katanya, SMA akan menggalakkan penggunaan platform Internet kepada agensi-agensi supaya peranan dan tugas kerajaan tidak tergendala selain turut menghasilkan program seperti e-Preneurs yang dapat membantu usahawan memasarkan produk dan membawa jenama mereka ke persada antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak melalui SMA juga telah berusaha menyediakan fasiliti dan kemudahan kepada masyarakat di samping menasihati mereka untuk berusaha menggunakan segala kemudahan sedia ada dengan cara yang baik dan berfaedah.

Terdahulu, ZAidi ditemu bual dalam program bersama Radio ERA menerusi rancangan tajaan SMA dengan kerjasama AZAM Sarawak.

Selain temu bual, program radio berkenaan juga boleh didengar menerusi ERA FM bagi frekuensi setempat di Kuching, Sibu dan Miri.

Program itu juga akan melibatkan kuiz yang boleh disertai pendengar untuk memenangi hadiah hebat yang telah disediakan bermula September ini.

Untuk keterangan lanjut, layari www.sma.gov.my atau website AZAM Sarawak www.azam.org.my.