KUCHING: Sarawak Multimedia Authority (SMA) dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) sekali lagi tampil dengan program Sembang DigitalNormal Baru menerusi Selamat Pagi Sarawak di Sarawak FM dengan topik Transformasi dalam Dunia e-Dagang yang memfokuskan kepada impak menerusi penglibatan wanita Sarawak menerusi program ePreneurs.

“Penubuhan koperasi ewanita pada Februari 2020 yang lalu diharapkan dapat memberikan semangat kepada wanita Sarawak untuk terus berjuang membantu keluarga, masyarakat dan Negeri Sarawak,” kata Noriah Ahmad, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Negeri Sarawak (JWKS) yang turut serta dalam program radio selama 15 minit tersebut.

Beliau menegaskan sistem sokongan yang diberikan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit sahaja akan tetapi bantuan dari segi moral dan kaunseling juga penting. Perkara ini adalah penting demi memastikan para usahawannya sentiasa bersemangat tambahan pula kehadiran beliau yang kerap berjumpa dengan usahawan menjadi produk kepada JWKS dalam memastikan mereka berada di landasan yang betul untuk mengecapi hala tuju seperti yang menjadi tujuan utama mereka mengikuti ePreneurs Wanita.