KUCHING – 4 September 2020: Perubahan normal baru yang berpunca dari wabak Covid-19 sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada semua penduduk dunia termasuklah kita di Sarawak. Sungguhpun begitu, Dr. Zaidi bin Razak, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) menyatakan bahawa pihaknya terus komited dalam membuat perubahan digital kepada negeri ini.

“Sarawak Multimedia Authority dengan misi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang sosio-ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan belia. Misi ini adalah sebagai rujukan utama dalam visi SMA untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi di Sarawak yang didukung oleh pengetahuan teknologi, inovatif dan digital,” kata beliau semasa ditemubual di Sembang Digital Sarawak anjuran SMA dengan kerjasama AZAM Sarawak.

Antara usaha yang dijalankan oleh SMA dalam mengatasi jurang digital di Sarawak adalah perlaksanaan Sarawak Multimedia Rural Telecommunication (SMART) sebanyak  600 di kawasan pedalaman dan luar bandar secara berperingkat.

Sungguhpun begitu, usaha ini tidaklah mudah, Zaidi berkata antara cabaran yang dilalui oleh pihak SMA dalam kerja-kerja pembinaan dan pemasangan  menara  adalah seperti jalan masuk yang sukar, kemudahan jalanraya yang terhad (penggunaan bot), pertikaian hakmilik tanah dan topologi negeri Sarawak yang berkawasan berbukit bukau.

Walaupun negara menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pegerakan Pemulihan (PKPP) sehingga ke hari ini, kerja-kerja pembangunan menara-menara tetap diteruskan mengikut arahan kerajaan negeri Sarawak dengan mengikut Standard Operating Procedure (SOP).

“SMA dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama untuk meningkatkan hubungan jalur lebar ke kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak.” tambah beliau.

Zaidi menambah, usaha mempertingkatkan jaringan bertaraf 5G di Sarawak juga melibatkan pelbagai projek infrastruktur telekomunikasi yang sudah dirancang dan ada yang sedang dilancarkan di bawah usaha Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dan sejajar dengan National Fiberisation Connectivity Plan (NFCP) SKMM.

Selain itu, terdapat juga program lain yang bertemakan Inklusiviti Digital turut dijalankan seperti,  Bengkel PANDei (People Accessible, Network, for Digital Empowerment Inclusivity)  bersama PUSTAKA Negeri Sarawak yang mendedahkan kemahiran literasi digital kepada masyarakat, selain program Rindok Digital dimana ia memberi peluang kepada masyarakat luar bandar berinteraksi secara terus dengan SMA dan agensi kerajaan yang lain.

Disamping itu, program-program berteraskan digital turut diadakan bagi mendidik dan mendedahkan masyarakat dengan kemudahan teknologi.

Pihak SMA juga mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan telekomunikasi melalui Very Small Aperture terminal (VSAT) sebagai penyelesaian interim dalam mengatasi masalah telekomunikasi yang dialami oleh masyarakat pedalaman.  Beliau turut menegaskan bahawa menara yang dipasang tidak semestinya tinggi seperti menara lain akan tetapi ada yang hanya diletakkan di bangunan-bangunan dan mungkin dipasang diatas permukaan tanah yang rendah dan tidak boleh dilihat oleh sesiapa.

Beliau mengharapkan kerjasama daripada masyarakat luar bandar dapat sentiasa memberikan  kerjasama kepada kerajaan Sarawak untuk memudahkan usaha Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication dijalankan dengan sempurna.

Temubual ini telah keudara selama 15 minit dalam episod kedua yang keudara pada  28 Ogos 2020 manakala episod ketiga yang keudara pada 4 September 2020 dengan topik “Transformasi Sarawak ke Arah Digital” dalam Program Sembang Digital Normal Baru menerusi Sarawak FM anjuran SMA dengan kerjasama AZAM Sarawak. 

Program ini akan menemui anda selama 15 Minit mengupas topik yang menarik sesuai untuk menambahkan pengetahuan anda berkenaan dengan kemajuan Sarawak hari ini, setiap hari Jumaat bersiaran jam 9.30 pagi di Sarawak FM menerusi rancangan Selamat Pagi Sarawak.

Untuk keterangan lanjut, layari  www.sma.gov.my atau website AZAM Sarawak www.azam.org.my.